Tajuk Terkini

NASIB JENAIN DIKETAHUI 15 SEPTEMBER


Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menetapkan 15 September depan bagi memutuskan sama ada anggota polis berpangkat koperal, Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian remaja berumur 15 tahun Aminulrasyid Amzah pada April tahun lepas, akan dibebaskan atau dipenjara.Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak di akhir kes pembelaan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 12 Okt tahun lepas, mahkamah telah mendengar keterangan 39 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan.
Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April tahun lepas di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun, dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Aminulrasyid dilaporkan meninggal dunia kerana luka tembakan di kepala.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Mohd Dusuki Mokhtar dan Adilla Ahmad sementara Jenain diwakili peguam M.Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi.
Terdahulu, Salim berhujah pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah atas beberapa alasan antaranya, tertuduh tiada niat untuk mendatangkan kematian atau kecederaan yang boleh membawa kematian ke atas mangsa.

Beliau berkata, Jenain dalam pembelaannya memberitahu tujuan tembakan dilepaskan hanya untuk memberhentikan kereta dan ketika tembakan dilepaskan apa yang bermain di fikirannya ialah kereta Proton Iswara bernombor pendaftaran BET 5023 yang dipandu oleh Aminulrasyid berkemungkinan terlibat dalam kesalahan jenayah.

Selain itu, Salim berhujah tembakan pertama bukan dilepaskan oleh tertuduh tetapi oleh seorang lagi anggota polis peronda iaitu Konstabel Mohd Izham Mahayadin (saksi ke-28 pendakwaan), yang sebelum ini disahkan telah melepaskan 10 das tembakan.

“Sebanyak 10 das tembakan telah dilepaskan oleh Mohd Izham menggunakan sub-mesingan mode manual berbeza dengan tertuduh.

Tertuduh tembak guna sub-mesingan mode automatik, sekali tekan keluar 21 das tembakan. Kalau benar (kereta) Iswara lakukan kesalahan trafik seperti yang didakwa pihak pendakwaan, kenapa Mohd Izham lepaskan 10 das tembakan di Bulatan Kayangan,” katanya.

Salim berkata, saksi kedua pembelaan, pakar forensik Amidon Anan yang merupakan bekas Ketua Unit Forensik (CSI) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam keterangannya memberitahu bahawa terdapat lebih daripada satu penembak, maka sisa serbuk tembakan adalah penting untuk menentukan dari senjata mana anak peluru yang ditemui di dalam kepala mangsa dilepaskan.

Beliau juga berkata, dalam kes itu, banyak kereta peronda polis (MPV) yang telah mengejar mangsa dan walaupun tertuduh merupakan orang terakhir melepaskan tembakan, ia tidak boleh dijadikan asas untuk menyatakan bahawa tertuduh telah menembak dan menyebabkan kematian mangsa.

“Keraguan juga wujud tentang sebutir peluru yang ditembak oleh senjata milik Mohd Izham yang dijumpai di Jalan Canggung 11/2F.

“Kalau benar Mohd Izham dikatakan berhenti tembak di Bulatan Kayangan, bagaimana peluru itu dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi kereta Iswara yang dipandu mangsa terbabas. Identiti penembak sukar dikenal pasti disebabkan kelemahan siasatan di tempat kejadian dan anak peluru dari kepala mangsa juga tidak dapat dikenal pasti ia datang dari senjata mana.

“Kita simpati satu nyawa telah hilang tetapi tugas mahkamah ialah untuk menilai dari segi perundangan dan mahkamah kena tentukan cukupkah keterangan untuk sabitkan tertuduh, apatah lagi tertuduh ialah anggota polis dan bukan orang awam. Pihak polis perlu diberi ruang untuk menjalankan tugas mereka, menjaga keamanan negara, apatah lagi kes kita ini berlaku di awal pagi dan kalau berlaku pada siang hari mungkin ada asasnya hujah pihak pendakwaan,” katanya.

Sehubungan itu, Salim memohon mahkamah menyemak semula keputusan di akhir kes pendakwaan dan mengambil kira keterangan pihak pembelaan serta mengimbangi kedua-duanya untuk mencapai satu rumusan bagi menentukan nasib tertuduh.

Mohd Dusuki pula berhujah bahawa pembelaan Jenain adalah penafian semata-mata serta tidak boleh dipercayai dan tertuduh hanya membuat segala penafian berhubung dengan ketidakbersalahannya sehingga menyebabkan kematian ke atas Aminulrasyid.

Beliau berkata, terdapat percanggahan dalam keterangan Jenain semasa disoal balas dan keterangan tertuduh juga adalah bertentangan dengan keterangan keseluruhan kes itu.

Selain itu, Mohd Dusuki berkata keterangan Amidon juga gagal untuk menyangkal kebenaran kes pendakwaan terutama mengenai isu siasatan tempat kejadian (CSI) yang dijalankan oleh pegawai siasatan tempat kejadian, Cif Ins Mazli Jusoh.[KL Today]

Justice4life®

1 Comments
Tweets
Comments

1 comments:

Anonymous said...

FTP .l.(-_-).l.

Post a Comment

Newer Posts Older Posts

ShareThis