Tajuk Terkini

Cukai korporat dibela, cukai prabayar rakyat dikuatkuasa

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR, 8 Okt: Belanjawan 2012 yang dibantang perdana menteri semalam dilihat lebih mementingkan pihak korporat berbanding rakyat kebanyakan.

Mempersoal fokus belanjawan itu Datuk Mahfuz Omar berkata, korporat-korporat gergasi di Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) mendapat pelepasan cukai, namun rakyat bawahan dan miskin yang guna telefon prabayar tidak dapat pelepasan cukai jualan.

Dalam ulasan awalnya terhadap Belanjawan 2012 yang disifatkannya sebagai "belanjawan sedap sekali sahaja" sebagai gula-gula Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, Mahfuz berkata, rakyat bawahan dan miskin terus menjadi golongan tertindas yang disasarkan bebanan cukai dalam belanjawan itu.
Menurut beliau, seperti gula-gula sekali bagi sahaja, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah memang mendapat bantuan RM500 tetapi selepas itu mereka terpaksa membayar pelbagai cukai kepada kerajaan seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan lain-lain cukai.

"Dapat habuan sekali sahaja menjelang pilihan raya tetapi bila BN menang pilihan raya nanti, kena bayar balik hari-hari termasuklah GST.

"Contohnya, cukai jualan enam peratus kepada pengguna telefon prabayar tetap dikenakan kepada rakyat bawahan termasuk rakyat berpendapatan rendah, orang miskin, remaja tanpa pekerjaan, pelajar sekolah dan mahasiswa.

"Memang sekarang syarikat telekomunikasi tangguhkan sebentar perlaksanaan cukai itu ke atas rakyat yang menggunakan perkhidmatan tersebut, tetapi selepas pilihan raya nanti adakah mereka sanggup tanggung lagi cukai enam peratus itu?" kata Mahfuz.

Walaupun beliau tidak mempersoalkan pelepasan cukai kepada korporat-korporat besar di dalam belanjawan itu, seperti firma-firma di KLFID, tetapi Ahli Parlimen Pokok Sena itu kesal dengan belanjawan yang begitu jelas menutup kedua-dua belah mata terhadap langkah melaksanakan pelepasan cukai kepada rakyat bawahan.

"Memang nampak kononnya macam mesra sangat, maklumlah (Timbalan Perdana Menteri Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) sendiri tak halang kita labelkan belanjawan itu sebagai "belanjawan pilihan raya".

"Tetapi, bukan sahaja inflasi yang semakin meningkat tidak kelihatan ditangani secara jujur dan bersungguh-sungguh oleh 'belanjawan sedap sekali' itu, malah belanjawan itu dengan jelas membuktikan bahawa tidak pernah terpadam keghairahan berapi-api BN untuk memaksakan pelbagai cukai kepada rakyat.

"Jangan lupa, (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) telah menyatakan secara terus-terang keinginan kerajaan BN yang diketuainya untuk memaksakan GST selepas pilihan raya," katanya.

Mahfuz menyifatkan kerajaan BN seperti kecanduan untuk menyasarkan rakyat dengan bebanan cukai walaupun kutipannya tidak sebanyak mana.

"Umpamanya cukai jualan kepada rakyat bawahan dan miskin yang menggunakan telefon prabayar, saya difahamkan jumlah kutipannya tidaklah sampai RM1 bilion setahun, tetapi kerajaan nak gasak juga cukai itu sedangkan pada masa yang sama subsidi kepada syarikat penjana tenaga bebas (IPP) yang dilaporkan menjulang tinggi sehingga RM19 bilion tidak pula diusik.

"Begitu juga, kes-kes saman syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) termasuk Malaysia Airlines (MAS) dan Danaharta kepada orang kaya seperti Tan Sri Tajuddin Ramli yang melibatkan jumlah wang yang sangat besar boleh pula diarah bagi pihak Perdana Menteri supaya ditarik balik, tapi cukai jualan kad telefon prabayar kepada rakyat bawahan dan miskin tetap hendak dipaksakan oleh kerajaan BN," katanya.

Beliau meminta rakyat jangan tertipu dengan belanjawan yang "sedap hanya sekali sahaja tetapi azabnya sampai ke mati" itu.[KLN]

JUSTICE4LIFE®

1 Comments
Tweets
Comments

1 comments:

KBLOG said...

ambe sokong cukai korporat diturunkan sbb boleh tarik pelabur asing. tp ambe tak sokong cukai korporat dikenakan kpd pengguna. malangnya, cukai perkhidmatan bukan hak gov tp hak kompeni sama mcm makan di kepci or mekdi...huhu

Post a Comment

Older Posts

ShareThis